Program CSR-Penanaman Pokok di FRIM Bersama Delegasi ISI WSC 2019

Menurut Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, program ini dianjurkan dengan kerjasama FRIM sebagai cara untuk menyantuni alam sekitar dengan cara menanam pokok. Beliau juga berkata penglibatan anak muda dalam program ini dilihat dapat meningkatkan kesedaran tentang budaya memelihara alam sekitar. Dalam pada itu, beliau berharap agar ISI WSC 2019 dapat memberi satu lonjakan kepada dunia untuk bergerak secara bersama-sama dalam penghasilan statistik yang diperlukan oleh negara ini dan dunia.  ISI WSC 2019 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula hari ini sehingga 23 Ogos ini. Ia dijangka dihadiri lebih 2,600 pengamal statistik dan saintis data dari lebih 130 negara dalam pelbagai bidang. Tentang CSR-Penanaman Pokok di FRIM CSR mampu memberikan satu laluan yang kondusif dan efektif kepada FRIM dalam mempromosi produk mahupun jenama FRIM sendiri. Sejak tahun 2000 lagi, FRIM telah mula bergiat aktif dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti CSR. Beberapa program telah dirangka sejak itu hingga kini yang melibatkan pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat. Menerusi program-program berkenaan, usaha untuk memperkenalkan FRIM sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab serta mempelopori gerakan hijau dan mesra alam dapat dilaksanakan. Beberapa aktiviti kesedaran telah dianjurkan bagi menyebarkan maklumat kepada orang awam. Penganjuran aktiviti-aktiviti berkenaan turut mendapat kerjasama daripada badan-badan korporat tempatan mahupun antarabangsa serta institusi pengajian tinggi tempatan. Sepanjang tahun 2010–2018, sebanyak 20,607 pokok telah ditanam hasil usaha CSR FRIM dengan 169 badan korporat. Selaras dengan usaha ini, Unit Komunikasi Korporat (CCU) FRIM telah memulakan inisiatif penanaman pokok bersama Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) bagi Program Perniagaan Pelancongan Hijau yang dilancarkan bagi menyokong komitmen kerajaan untuk mengimbangi pelepasan karbon sebanyak 40 peratus pada tahun 2020. Selain aktiviti penanaman pokok sebagai aktiviti CSR sesebuah organisasi, terdapat juga aktiviti tanam pokok yang dijadikan kenangan atau komemoratif (memorial or commemorative planting). Aktiviti ini khusus untuk memperingati sesuatu peristiwa tertentu seperti hari lahir, majlis istimewa atau tanaman oleh VIP/tetamu dan lokasi tanaman adalah di lokasi yang utama di FRIM (prime area). FRIM telah diisytihar sebagai Tapak Warisan Semulajadi pada 2009, Warisan Kebangsaan pada 2012 dan berjaya diterima dalam Senarai Tentatif WHS UNESCO pada 7 Julai 2017 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC) ke-41 yang diadakan di Krakow, Poland. Justeru, iamerupakan satu kebanggaan dan keistimewaan sekiranya dapat menanam pokok di FRIM yang akan dipelihara sepanjang zaman.]]>