Petaling Jaya, 4 Jun 2019 – KidZania Kuala Lumpur, sebuah pusat pembelajaran dan hiburan tertutup kini memperkenalkan satu tarikan baharu kepada para pengunjung – sebuah studio animasi! Pembangunan terbaru ini direalisasikan dengan jalinan kerjasama di antara KidZania Kuala Lumpur dan Kumpulan Syarikat KRU, salah satu peneraju dalam bidang media dan hiburan di Malaysia.
Melaungkan falsafah ‘Pelajari Kehidupan Hari Ini’ (Learn Life Today), Studio Animasi KRU yang baharu di KidZania Kuala Lumpur akan menggalakkan pendedahan awal dan pembelajaran animasi di kalangan kanak-kanak serta memperkasakan mereka dengan kemahiran baharu untuk masa hadapan.
Dalam majlis pengumuman kerjasama baru-baru ini, KidZania Kuala Lumpur diwakili oleh Datuk Bandar KidZania, Shahrul Nizar Ahmad manakala Kumpulan Syarikat KRU diwakili oleh Presiden dan CEO KRU Entertainment, YBhg. Dato’ Norman Abdul Halim. Acara tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), YBhg. Dato’ Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), YBrs. Tuan Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Mengulas tentang kerjasama tersebut, Shahrul Nizar Ahmad berkata, “Kami merasa teruja dengan penglibatan pakar industri kreatif, Kumpulan Syarikat KRU bersama kami dalam misi memperluaskan ilmu pengetahuan, memupuk nilai dan membangunkan bakat kanak-kanak. “Kanak-kanak generasi ini adalah pengguna kandungan sejak kecil lagi, sama ada melalui televisyen, telefon pintar atau tablet. Memandangkan kandungan dan teknologi akan menjadi teras kepada kerjaya generasi akan datang, mengapa tidak memperluaskan lagi aspirasi mereka dan menyediakan saluran untuk mereka bereksperimen lebih lanjut. Kami pasti kerjasama dengan Kumpulan Syarikat KRU ini akan meningkatkan lagi pengalaman pembelajaran mereka,” tambah beliau. Dengan pembukaan Studio Animasi KRU, kanak-kanak berpeluang untuk mempelajari proses penghasilan animasi daripada mula sehingga akhir. Antara aktiviti-aktiviti yang ditampilkan adalah penyediaan jalan cerita (storyline) dan papan cerita (storyboard), penciptaan dan pembangunan watak, dan penghasilan suara latar (voice over) bagi watak-watak yang telah dicipta. YBhg. Dato’ Norman Abdul Halim berkata, “Kerjasama ini terjalin tepat pada masanya memandangkan industri penciptaan kandungan kreatif telah menjalani evolusi dan berkembang pesat. Kami merasa teruja untuk berganding tenaga dengan KidZania Kuala Lumpur kerana kerjasama ini memberi peluang kepada KRU untuk menyumbang kepada industri dengan membentuk dan mendidik anak-anak muda.” “Kita tidak dapat menyangkal bahawa kanak-kanak adalah di antara pengguna kandungan yang terbesar dan ada di antara mereka yang sudah menjadi penghasil kandungan yang berjaya. Dengan itu, kerjasama ini merupakan pakatan semulajadi dan kami akan berusaha untuk menjayakannya dengan menggabungkan pengetahuan, pengalaman dan harta intelek terbaru kami iaitu ‘Zan Orangutan’, sebagai sebahagian aktiviti dalam penubuhan ini,” kata YBhg. Dato’ Norman. Bagi merasmikan kerjasama di antara KidZania Kuala Lumpur dan Kumpulan Syarikat KRU, YBhg. Dato’ Norman telah dipersembahkan dengan ‘Kunci ke Kota’ (Key to the City), satu lambang penghormatan yang dianugerahkan oleh sebuah kota kepada individu yang disanjungi.

]]>